Saturday, 22 June 2013

Husnuzhon. Cara Mudah Meraih Jannah

بسم الله الرحمن الرحيم

“Husnuzhon, mudah dilafazkan dengan lisan, tetapi amat sukar untuk diamalkan, dan ramai yang meremeh-temehkan. Padahal, ia adalah kunci untuk melangkah ke Jannah.”




Husnuzhon x Suuzhon

Maksud Husnuzhon ialah prasangka yang baik. Kata antonimnya pula ialah Suuzhon, iaitu prasangka yang buruk. Seorang Muslim yang bergelar Mukmin sangat perlu untuk menanam benih sifat ini pada diri. Tanam sifat Mahmudah dan hakis sifat Mazmumah!

Sebab apa husnuzhon adalah cara yang paling mudah untuk meraih Jannah ?

Ayuh, sama-sama kita amati kisah ini. Kisah yang berlaku di Zaman Rasulullah SAW. 


Dari Anas Bin Malik RA meriwayatkan :

Suatu ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda :

يَطْلُعُ عَلَيْكُمُ الآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّة

“Sebentar lagi akan datang seorang lelaki ahli syurga.”

Tidak lama kemudian datanglah seorang lelaki yang tidak begitu dikenali dari kalangan Anshar, janggutnya masih dibasahi air wudhu’ sambil menjinjing sandal di tangan kirinya.

Keesokan harinya kami duduk bersama Rasulullah SAW dan baginda mengatakan hal sama lalu muncul orang yang sama dengan melakukan hal yang sama pula.

Demikian terjadi hingga tiga hari berturut-turut. Ketika Rasulullah berdiri dari tempat duduk baginda meyuruh Abdullah bin Amru bin Al-Ash mengikuti lelaki tersebut. Lalu beliau berkata kepada lelaki Anshar itu :

“Aku sedang bertengkar dengan ayahku dan aku bersumpah tidak akan pulang ke rumah sampai tiga hari ini. Bolehkah aku menginap di rumahmu wahai saudaraku ?” lelaki itu ternyata mengizinkan.

Setelah Abdullah bin Amru bin Al-Ash menginap selama tiga hari, dia pun menceritakan apa yang dilihatnya. Ternyata dia tidak melihat orang itu bangun malam untuk Solat Tahajjud, kecuali hanya terjaga sebentar lalu tidur lagi. Dan setiap kali dia terjaga, dia hanya berzikir dan bertakbir lalu kembali tidur hingga tiba waktu Solat Subuh.

Selama tiga hari berturut-turut setiap kali engkau datang ke masjid, Rasulullah Shollallohu ‘alaihi Wasallam selalu bersabda :

“Sebentar lagi akan datang seorang laki-laki ahli Syurga”, maka aku sangat ingin mengetahui akan amal ibadah yang telah kamu lakukan sehingga aku boleh menirumu. Tetapi selama tiga hari ini aku bersamamu aku tidak melihat sesuatu yang istimewa pada dirimu”.

Apa sebenarnya yang telah engkau lakukan sehingga Rasulullah SAW bersabda seperti itu ?

“Memang tidak ada yang istimewa dalam diriku kecuali yang telah engkau saksikan sendiri selama tiga hari ini”. Balas lelaki itu.

“Maka aku pun segera pergi meninggalkan orang itu”, kata Abdullah bin Amru bin Al-As. Seketika itu dia memanggilku dan berkata :

مَا هُوَ إِلاَّ مَا رَأَيْتَ غَيْرَ أَنِّى لاَ أَجِدُ فِى نَفْسِى لأَحَدٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ غِشًّا وَلاَ أَحْسُدُ أَحَداً عَلَى خَيْرٍ أَعْطَاهُ اللَّهُ إِيَّاهُ

“Tidak Ada yang istimewa dalam diriku kecuali yang telah engkau saksikan sendiri selama tiga hari ini, hanya sahaja aku tidak pernah terdetik sedikit pun dalam hatiku buruk sangka terhadap saudaraku sesama Muslim dan Aku tidak pernah merasa iri hati dan dengki terhadap nikmat dan kurniaan yang Allah berikan kepada seseorang di antara mereka.”

Abdullah bin Amru bin Al-As pun menjawab :

هَذِهِ الَّتِى بَلَغَتْ بِكَ وَهِىَ الَّتِى لاَ نُطِيقُ

“Inilah kelebihan yang kamu miliki dan tidak mungkin dapat kami lakukan.”

(HR Ahmad dan Nasa’i)

Jadi, konklusi yang boleh kita ambil dari kisah di atas ialah, orang yang mengamalkan sifat Husnuzhon terus di 'label' Ahli Jannah. Sangat mudah meraih Jannah hanya dengan sifat ini.


Persoalan

Sebab apa ? kerana husnuzhon ini sangat susah untuk diamalkan. Ya, memang mudah untuk dilafazkan dengan lisan, tetapi amat payah untuk diamalkan. Amat sukar untuk di 'pakai' kan pada baju Akhlak kita.

Ya, sangat susah. Mungkin hanya segelintir yang mampu mengamalkan sifat husnuzhon ini tetapi majoriti Mukim sekarang masih dibelenggu dengan tali Suuzhon, digenggam dengan sifat dengki dan iri hati. Firman Allah SWT :

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."

[QS Al-Hujurat 49:12]

Kita lihat pada ayat di atas, bagaimana Allah menyuruh orang beriman menjauhkan sifat-sifat Mazmumah seperti Suuzhon, mecari kesalahan orang, dan juga mengumpat.

Jijik sungguh! Lihatlah perumpamaan yang Allah beri kepada orang yang mengumpat, ibarat dia memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati. Yasalaam T.T

Hikmah

Dah berjaya tanam Husnuzhon dalam diri ? Alhamdulillah. Begitu banyak hikmah dan Fadhilat yang boleh kita perolehi hanya dengan mejadikan sifat ini sebati dalam diri dan pakaian Akhlak kita.

Pertama, hikmah sifat Husnuzhon boleh mengeratkan hubungan silaturrahim. Bersihnya hati dari sifat Suuzhon akan membawa kepada perpaduan Ummat dan menjadi Ummat Islam yang harmoni.

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

[QS Al-Hujurat 49:10]

Kedua, mengelakkan penyesalan dalam hubungan akibat menuduh, memfitnah dan sebagainya. Dengki dan iri hati pada saudara sesama Islam boleh membawa kepada perpecahan Ummat!

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

[QS Al-Hujurat 49:6]

Selalu merasa bahagia atas segala kejayaan yang dicapai oleh orang lain walaupun kita sendiri belum berjaya. Bertujuan untuk mewujudkan sikap suka bersaing antara satu sama lain. Kerana sikap ingin bersaing dengan orang yang telah berjaya akan mendatangkan keuntungan kepada semua umat Islam termasuk dirinya sendiri.

Mari, kita sebatikan diri kita dengan sifat-sifat Mahmudah terutamanya sifat Husnuzhon. Hakis dan kikis hingga habis sifat-sifat Mazmumah yang ada dalam diri kita.

Ayuh, kita capai matlamat kita untuk menjadi Ummat terbaik yang sentiasa mengharapkan Mardhatillah. Keredhaan Allah yang paling utama!

Mukmin mestilah menjadi seperti pisau, agar boleh cincang  sifat Suuzhon habis-habisan. Sampai lumat. Buang sifat Suuzhon hatta pada non-muslim sekalipun. Jika Allah beri hidayah pada mereka, mungkin mereka lebih memahami agama daripada kita. Doa Hidayah pada mereka sentiasa. InsyaAllah.

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

“Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”

[QS Al Hasyr 59:10]

4 comments: